MOTIVASI PERCUMA - MASA HIDUP YANG PENDEK
Surah al As.
Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian.
Agaknya berapa lamakah kita akan hidup di muka bumi ini? Lebih 100 tahun? Mungkin tidak kerana peratusan yang dapat hidup selama lebih dari 100 tahun itupun jumlahnya begitu kecil. Kalau pun anda, kemungkinan besar kebanyakan kawan-kawan kita sudah mati atau kitapun sudah terlalu uzur dan nyanyuk untuk buat apa-apa.
Kalau kita mati ikut purata jangkamasa hayat ketika ini maka kita akan hidup lebih kurang 70 tahun. Kalau kita mati ikut umur Nabi SAW pada umur 63 tahun maka kita dapatlah bonus 7 tahun di hari tua. Bapa saya meninggal dunia pada umurnya 53 tahun kerana serangan jantung dan sekarang saya telahpun berumur 49 tahun maka kalau ikut umur itu maka saya tinggal lagi 4 tahun sahaja lagi yang tinggal. Mungkin atas sebab inilah saya menulis semua dengan harapan ia menjadi amal jariah yang diredhai Allah Taala. Saya dah tak punya banyak masa.
Bagaimana dengan anda? Agaknya berapa lama anda akan hidup di dunia ini?
Bayangkan sekiranya anda mempunyai masa sejam dan tiada apa yang hendak dibuat. Sekiranya anda termenung selama itu, masa akan tetap berjalan juga tanpa menunggu anda.
Dalam hal ini masa makan, masa mandi, masa dalam perjalanan, masa bekerja, masa bersekolah adalah masa yang terpaksa kita ambil sama ada kita suka atau tidak. Tetapi kalau kita fikirkan sebenarnya banyak perkara yang dapat kita lakukan dalam masa terpaksa ini dan banyak juga masa yang dapat kita jimatkan. Berapa banyakkah masa yang diperlukan untuk mandi dan bersiap? Orang Barat dan orang-orang Jepun jarang-jarang mandi. Berapa banyakkah masa yang kita ambil untuk menyiapkan makanan dan makan. Orang Barat ada “Fast Food” yang cepat disiapkan. Berapa banyakkah masa yang telah kita habiskan terbiar dalam trafik jem atau dalam perjalanan?
Katalah kita hidup setakat umur 60 tahun atau 21900 hari sebelum kita mati meninggalkan dunia ini.
Maka secara keseluruhannya pembahagian masa hidup secara tak langsung kita akan jadi begini :
Purata tidur 8 jam sehari = 8 jam / 24 jam sehari X 60 tahun
= 20 tahun dihabiskan untuk tidur.
Maka tinggallah masa sedar sebanyak 40 tahun lagi. Masa untuk menjalankan produktiviti. Kalau nak lebih masa sedar maka kita kenalah kurangkan masa tidur. Kalau dilebihkan masa kurang masa kita untuk hidup. Anda boleh baca artikel mengenai masa tidur itu di sini.
Purata kerja / belajar 8 jam sehari = 20 tahun dihabiskan bekerja /
belajar.
40 tahun yang tinggal tolak masa sekolah, masa belajar hingga ke Universiti dan masa kita mula bekerja hingga pencen maka dengan purata 8 jam sehari maka 20 tahun kita habiskan untuk semua ini maka tinggallah lagi 20 tahun atau 7300 hari sahaja lagi yang tinggal.
Kemudian kena pulak tolak masa untuk makan minum, mandi, buang air, bersiap dan sebagainya.
Purata masa makan ( makan pagi, tengahari, petang dan malam )
2 jam sehari = 2 jam / 24 jam X 60 tahun
= 5 tahun dihabiskan untuk makan.
Maka ditolak lagi 5 tahun maka tinggallah 15 tahun atau 5475 hari lagi masa kosong yang masih ada. Bukankah bila ditolak semua ini maka masa kita yang ada semakin mengecil?
Mungkin kerana kesedaran ini orang Barat mencipta makanan yang mudah dimasak dan mengambil masa yang singkat. Restoran “Fast Food” seperti Mc Donald’s, KFC, Pizza dan lain-lain berada di mana-mana sahaja di negara mereka. Tidak seperti orang kita yang mengambil masa yang lama untuk menyiapkan masakan hinggalah tiba masa makan. Kalau masak lemak cili padi pun mengambil masa. Bayangkanlah pula masa yang diambil untuk memasak lemang, dodol, ketupat dan sebagainya.
Kalau difikirkan kita berpeluang mengisikan masa ini dengan membaca dan sebagainya. Mungkin ibubapa kita akan marah kalau kita makan sambil membaca. Tetapi ini lebih mengingatkan saya akan petua orang-orang kita yang membacakan ayat-ayat suci Al-Quran kepada sebekas air dan air ini kemudiannya diminum bagi tujuan menyembuhkan penyakit, penerang hati dan sebagainya. Ada juga petua mereka yang mengatakan kalau ingin mudah menghafal kita seharusnya membaca sambil makan atau minum kerana ia akan masuk dengan makanan yang kita makan itu. Mungkin petua ini boleh digunakan setiap kali kita makan dengan yang demikian kita tidaklah menggunakan masa tersebut semata-mata untuk makan.
Purata masa diambil dalam perjalanan ( naik bas, LRT, MRT, monorail, kereta, basikal, berjalan kaki )
1 jam sehari = 1 jam / 24 jam X 60 tahun
= 2.5 tahun dihabiskan untuk dalam perjalanan.
Kena tolak lagi 2.5 tahun maka tinggallah lagi 12.5 tahun atau 4562.5 hari masa hidup sedar yang masih kosong. 4500 hari bukanlah masa yang banyak sebelum kita meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.
Ada di kalangan rakan sepejabat saya yang selalu bertanya kenapa saya menunggang motor ke pejabat sedangkan saya mempunyai kereta dan mengapakah saya memandu macam lipas kudung? Maka inilah penerangan saya. Saya mengambil masa 15 minit untuk sampai ke pejabat kalau dibandingkan dengan dia yang mengambil masa 1 jam 15 minit memandu kereta dari Shah Alam ke KL. Yelah mungkin dia tidak kena hujan dan dapat menunjukkan prestij kerana mempunyai kereta, namun 2 jam yang saya jimat pergi dan balik dapat saya gunakan untuk bersama anak-anak iaitu sejam di sebelah pagi dan sejam lagi di sebelah petang atau saya boleh menggunakan untuk produktiviti yang lainnya.
Apa yang dapat kita buat terperangkap dalam “traffic jam“ di dalam kereta? Kita tidak dapat membaca, bersama anak-anak dan sebagainya. Paling kuat kita dapat berzikir, mendengar radio dan berhubungan melalui telefon tak lebih dari itu. Perjalanan jauh itu juga akan memenatkan dan menambahkan risiko kemalangan kerana jangkamasa kita yang lebih lama di atas jalanraya. Kosnya juga jauh lebih tinggi.
Maka beruntunglah mereka yang tinggal dekat dengan tempat kerja atau bekerja dari rumah mahupun berniaga kerana mereka mempunyai lebih masa untuk menjalankan produktiviti lain. Ada juga yang menaiki kenderaan awam tetapi menghabiskan masa tersebut dengan sia-sia belaka dengan memerhatikan kerenah manusia setiap hari. Orang Jepun menghabiskan masa membaca semasa dalam perjalanan ke mana sahaja mereka pergi kerana mereka tahu dan sedar akan keutamaan masa ini.
12.5 tahun atau 4562 hari yang tinggal masih perlu ditolak dengan masa mandi, buang air dan bersiap.
Purata masa mandi dan bersiap ( mandi pagi, mandi petang dan bersiap )
1 jam sehari = 1 jam / 24 jam X 60 tahun
= 2.5 tahun dihabiskan untuk mandi
dan bersiap.
Maka setelah ditolak 2.5 tahun lagi dengan 12.5 tahun masa yang ada maka tinggallah lagi 10 tahun atau 3650 hari yang tinggal. Macamana? Apa yang boleh kita buat dengan masa sebanyak itu? Sempatkah kita menjadi kaya dan berjaya? Sempatkah kita menjadi seorang yang beriman dan beramal soleh? Sempatkah kita buka perniagaan global atau adakah kita akan menjadi orang yang gagal?
Dahulu nenek moyang kita mandi dan bersiap dengan kadar yang jauh lebih cepat. Kenapa? Ini kerana pada masa itu “syampoo, conditioner, facial wash” dan sebagainya belum lagi dicipta. Jadi mereka mandi ala kadar sahaja. Bab bersiap pula mengambil masa yang lebih lama lebih-lebih lagi bagi kaum perempuan. Kena pakai bedak, gincu, maskara, losyen muka, losyen badan, minyak wangi dan entah apa-apa lagi. Itu belum lagi betulkan tudung. Masa terbuang begitu sahaja.
Kalau kita bandingkan dengan orang Barat, ramai yang bangun pagi terus bersiap ke tempat kerja atau pejabat tanpa mandi. Mungkin mereka ingin menjimatkan masa tak?
Purata beramal 30 minit sehari = 30 minit / 24 jam X 60 tahun
=1.25 tahun yang akan dibawa ke akhirat kelak.
Alamak 1.25 tahun atau 456 hari tahun sahaja yang dibawa ke akhirat? Kalau ke karaoke, panggung wayang, tengok TV, main games, tengok HP, sosial media dan majlis keramaian kita sanggup habiskan masa berjam-jam sehari tapi kalau ke masjid tu kita macam cacing kepanasan sahaja. Solat Jumaat contohnya datang dahlah lewat balik pulak punyalah cepat. Apalah salahnya datang awal duduk lama sikit untuk mengaji, bentang sejadah, bersolat, berzikir dan berdoa? Dahlah pergi masjid seminggu sekali. Datang pulak macam kilat sampai malaikat pun tak sempat nak catat nama.
Anda perasan tak yang kalau kita jadi malaikat kita tak perlu menghabiskan masa untuk semua ini selain ibadah kepada Allah? Malaikat tak perlu pergi kerja, buang air, mandi, menunggu giliran di bank dan pejabat pos, mereka tak perlu naik basikal dan kapalterbang kerana mereka boleh terbang dengan begitu pantas!
Kesimpulannya ialah orang yang paling bijak ialah orang yang ingat mati dan membuat persiapan untuk menghadapi kematian. Jadi artikel ini ialah berkenaan dengan perkara ini. Ingatlah masa kita singgah di mukabumi ini begitu pendek hanya beberapa hari sahaja jadi sebaiknya janganlah kita bazirkan dengan perkara yang tak perlu dan tak penting. Kurangkan masa mandi, bersiap, memasak, makan dan sebagainya supaya kita boleh buat perkara lain yang lebih membina dan bernilai.
Sekian sahaja buat kali ini.
Jangan buang masa yer sebab masa kita sedang berdetik meninggalkan kita dan setiap detik itu juga mendekatkan kita dengan kematian. Kalau tak boleh buat iaitu membantu dengan tangan dan kaki, kita gunakan lidah untuk bercakap atau menyampaikan, kalau tak bolah cakap, kita gunakan hati berzikir. sesungguhnya itu lebih baik.
Ikhlas,
FY Al Haj
0166667430
Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang lain yang dijodohkan dengannya.