SIFAT AMANAH: PINJAMAN YANG AKAN DIPULANGKAN
Amanah bukan sekadar tentang harta atau jawatan. Amanah adalah keseluruhan hidup yang Allah SWT pinjamkan kepada kita. Namun demikian, kebanyakan orang hanya melihat amanah pada perkara yang zahir, sedangkan amanah yang paling besar sering terlepas pandang.
Kita memahami bahawa harta adalah amanah. Kita tahu jawatan adalah tanggungjawab. Kita sedar bahawa apabila memimpin, kita perlu berlaku adil dan membuat keputusan terbaik untuk orang lain. Namun demikian, dalam masa yang sama kita lupa bahawa nyawa, masa, tenaga, akal, anggota dan pancaindera juga merupakan amanah yang jauh lebih besar nilainya.
Persoalannya, sejauh mana kita menjaga amanah-amanah ini?
Setiap hari, sejak celik mata hingga kembali melelapkan mata, kita menggunakan nikmat penglihatan. Mata yang diberikan bukan sekadar untuk melihat, tetapi untuk memilih apa yang boleh dilihat. Berapa banyak ilmu yang kita tambah melalui mata? Berapa banyak masa yang kita bazirkan? Berapa banyak dosa yang kita kumpulkan tanpa kita sedari?
Hakikatnya, setiap manusia adalah pemimpin. Bukan sekadar pemimpin kepada orang lain, tetapi pemimpin kepada diri sendiri. Diri kita adalah sebuah “kerajaan” yang perlu ditadbir. Jasmani, rohani dan akal perlu diurus dengan disiplin. Jika kerajaan diri gagal ditadbir, maka mustahil kita mampu memimpin keluarga, apatah lagi masyarakat dan negara.
Kebanyakan orang menghargai sesuatu yang jelas di mata. Kita menghargai ibu bapa, guru dan sahabat. Kita berterima kasih apabila menerima hadiah, lebih-lebih lagi jika hadiah itu besar nilainya. Namun demikian, kita jarang menghargai nikmat yang paling besar, iaitu nikmat yang Allah SWT kurniakan sejak lahir.
Bayangkan jika kita dilahirkan tanpa pancaindera yang lengkap, kemudian setiap tahun Allah SWT memberikan satu demi satu nikmat tersebut. Sudah tentu setiap kurniaan itu akan dihargai sepenuh jiwa. Mata akan digunakan sebaiknya. Telinga akan dijaga penggunaannya. Setiap anggota akan dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab.
Namun demikian, kerana semuanya dikurniakan sekaligus sejak lahir, kita menjadi lalai. Kita tidak merasa kekurangan atau kehilangan, maka kita tidak merasa nilai. Kita tidak menghargainya.
Lantas semuanya digunakan secara bebas tanpa panduan. Mata digunakan untuk melihat perkara yang melalaikan. Telinga digunakan untuk mendengar perkara yang sia-sia. Lidah digunakan untuk menyakiti dan menyebarkan keburukan. Amanah yang sepatutnya membawa kita dekat kepada Allah SWT, akhirnya menjadi sebab kita menjauh daripadaNya.
Kesimpulannya, setiap nikmat adalah amanah. Setiap amanah akan dipersoalkan. Hargailah apa yang kita ada hari ini, kerana esok belum tentu ia masih dipinjamkan kepada kita kerana ia boleh diambil kembali oleh Allah SWT pada bila-bila masa. Fikir-fikirkanlah.
Jom kita sambung penceritaan dan bab yang akan datang. Kongsikan blog ini andai ia bermanfaat. Sesungguhnya yang baik dari Allah SWT dan yang kurang baik adalah atas kelemahan diri saya sendiri.
Sekian dulu, Terima kasih.
Ikhlas
Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Sahsiah Diri.
Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia.
Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.
#mindaakhirat
#faizalyusup
No comments:
Post a Comment