Friday, May 8, 2026

PENERAPAN NILAI DIRI


PEMBENTUKAN SAHSIAH DIRI

Antara penerapan yang bakal ditanamkan dalam diri seseorang sejak kecil hingga dewasa adalah seperti berikut:

Penerapan-penerapan inilah yang akhirnya masuk ke dalam diri seseorang lalu membentuk prinsip pegangan hidupnya. Ia bergantung kepada didikan, pendedahan, pengalaman serta persekitaran yang dilalui secara sedar mahupun tidak sedar. Perbezaan penerapan antara seseorang dengan orang lain inilah yang sering menimbulkan perselisihan, sama ada antara adik-beradik, sahabat mahupun suami isteri.

Di negara ini, penerapan akademik dilaksanakan secara lebih sistematik dan berstruktur melalui sistem pendidikan. Namun demikian, penerapan yang lain kebanyakannya terbentuk secara tidak formal dan spontan melalui kehidupan seharian. Penerapan agama pula biasanya lebih tersusun bagi mereka yang mendapat pendidikan di sekolah-sekolah agama, walaupun jumlahnya tidak ramai. Mungkin juga penerapan agama yang benar-benar tersusun dan terancang kurang diberikan penekanan secara menyeluruh atas pelbagai faktor dan keadaan semasa.

Sebagai analogi, pengisian dalam diri manusia sebenarnya umpama cebisan-cebisan puzzle yang sebahagiannya tersusun manakala sebahagian lagi masih berselerak. Bahagian yang tersusun itu biasanya datang daripada aspek akademik kerana ia diajar secara berperingkat dan mempunyai silibus yang jelas. Contohnya dalam Matematik, seseorang itu diajar mengenal nombor terlebih dahulu sebelum mempelajari operasi tambah, tolak, peratusan, perpuluhan dan sebagainya mengikut tahap pembelajaran yang tersusun.

Namun demikian, penerapan nilai kehidupan yang lain tidak berlaku sedemikian rupa. Ia banyak bergantung kepada suasana didikan di rumah dan persekitaran hidup. Anak yang dibesarkan dalam keluarga perniagaan mungkin akan cenderung menjadi usahawan. Anak kepada guru dan pensyarah pula selalunya lebih terdedah kepada budaya ilmu dan kecemerlangan akademik. Anak ahli sukan pula lazimnya dibiasakan dengan dunia sukan sejak kecil. Begitulah seterusnya. Walau bagaimanapun, tidak semua anak akan mengikut jejak langkah ibu bapa mereka kerana setiap manusia mempunyai pilihan dan kecenderungan tersendiri.

Hakikatnya, manusia hanya mengetahui perkara yang pernah didedahkan kepada dirinya. Jika sesuatu perkara tidak pernah diperkenalkan, maka seseorang itu mungkin tidak akan mengetahuinya langsung. Sebab itulah ada orang yang lebih menonjol dalam bidang seni dan kemahiran, ada yang lebih menyerlah dalam akademik, dan ada pula yang lebih mendalam dalam aspek agama. Tanpa kita sedari, perbezaan penerapan nilai dalam diri inilah yang sering menjadi punca ketidakfahaman dalam hubungan sesama manusia.

Dalam penulisan-penulisan terdahulu, saya telah menghuraikan tentang penerapan sikap, kaedah menangani masalah, penerapan nilai dunia dan akademik. Artikel kali ini pula lebih memfokuskan kepada cebisan-cebisan pengisian agama yang berselerak dalam diri kebanyakan kita. Dengan izin Allah SWT, saya cuba menyusun semula pengisian ini secara lebih terancang dan tersusun agar kita dapat mengenali diri sendiri dan Allah SWT dengan lebih dekat lagi.

PERBEZAAN PENERAPAN NILAI DIRI

Dalam isu penerapan nilai diri ini, ada orang yang tinggi kelayakan akademiknya sehingga berjaya memperoleh PhD dan bergelar profesor. Pada masa yang sama, ada juga yang memiliki kelebihan dalam bidang seni dan kemahiran sehingga menjadi artis, penyanyi, pelukis dan sebagainya.

Apa sahaja bidang yang kita ceburi secara bersungguh-sungguh akhirnya akan menjadikan kita lebih mahir dan pakar dalam bidang tersebut. Namun begitu, seseorang mungkin menjadi pakar dalam satu bidang tetapi masih lemah dalam bidang yang lain kerana penerapan kehidupan yang dilaluinya berbeza-beza.

Cuba tanya diri sendiri, berapa banyakkah penerapan yang benar-benar ada dalam diri kita?

Penerapan Agama

Adakah kita mempunyai kefahaman agama yang mendalam sehingga membentuk akhlak yang baik dan hati yang dekat dengan Allah SWT?

Penerapan Bangsa dan Budaya

Adakah kita benar-benar memahami adat, budaya, pantang larang dan nilai masyarakat kita sendiri?

Penerapan Sifat dan Sikap

Adakah kita memahami sifat-sifat mulia yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat seperti sabar, pemurah, pemaaf dan rendah hati?

Penerapan Akademik

Adakah ilmu yang kita pelajari memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu pembangunan insan?

Penerapan Seni dan Kemahiran

Adakah kita mempunyai bakat dan kemahiran tertentu yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan?

Persoalan-persoalan ini sebenarnya mengajak kita berfikir sejenak tentang siapakah diri kita yang sebenar. Bukankah semua ini menunjukkan bahawa manusia dilahirkan dalam keadaan kosong, kemudian pelbagai penerapan masuk sedikit demi sedikit sehingga membentuk peribadi dan prinsip hidupnya?

Mungkin juga kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak mempunyai masa untuk duduk berfikir tentang semua ini. Sedangkan manusia dibezakan daripada makhluk lain kerana dikurniakan akal untuk berfikir, menilai dan memahami kehidupan. Bukan kita tidak mahu berfikir tetapi kadangkala kehidupan harian terlalu sibuk sehingga kita lupa untuk bermuhasabah tentang diri sendiri.

Saya bertanya demikian kerana saya pernah membaca pelbagai kisah manusia — kisah imam yang ditangkap khalwat, kisah rasuah, kisah homoseksual, kisah murtad, kisah budak genius menjadi penagih dadah, malah kisah artis yang hidupnya porak-peranda. Apa sebenarnya masalah mereka? Apakah penerapan nilai yang ada dalam diri mereka sehingga kehidupan mereka menjadi sedemikian rupa?

Dalam satu kes yang pernah saya kendalikan, saya bertemu dengan seorang individu yang terlalu kedekut dan berkira sehingga akhirnya menyebabkan penceraian. Sedangkan sifat kedekut bukanlah sifat yang baik dalam norma kehidupan bermasyarakat. Namun itulah sifat yang telah lama diterapkan dan akhirnya sebati dalam dirinya.

Dalam banyak keadaan juga, ada manusia yang merasakan dirinya sudah serba tahu, serba pandai dan tidak lagi mahu mendengar nasihat daripada orang lain. Sedangkan hakikatnya, penerapan nilai dalam diri mereka masih terlalu cetek dalam banyak aspek kehidupan.

Jadi bagaimana sebenarnya semua penerapan ini terbentuk?

InsyaAllah, konsep 4P yang akan saya huraikan nanti mungkin dapat membantu kita memahami persoalan ini dengan lebih mendalam.

Sekian dulu, jom kita sambung penceritaan dalam artikel yang seterusnya dalam blog ini. Semoga bermanfaat. 

Terima kasih.


Ikhlas,

Haji Faizal Yusup

www.mindaakhirat.com

Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Pembangunan Sahsiah Diri.

www.bicarapelaburan.com

Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia. 

Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.

#mindaakhirat

#faizalyusup


No comments:

Post a Comment

MAKAN NILAI DAN PRINSIP

Sekian dulu, jom kita sambung penceritaan dalam artikel yang seterusnya dalam blog ini. Semoga bermanfaat.  Terima kasih. Ikhlas, Haji Faiza...