Friday, March 9, 2018

PENERAPAN NILAI DIRI

Antara penerapan yang bakal ditanamkan dalam diri seorang dewasa adalah seperti berikut ;

  • Penerapan Ugama
  • Penerapan Bangsa
  • Penerapan Sifat dan Sikap
  • Penerapan Akademik
  • Penerapan Seni, Kemahiran dan lain-lain.

Penerapan-penerapan inilah yang bakal masuk ke dalam diri seseorang individu itu dan bakal menjadi prinsip pegangan hidup. Ia bergantung kepada didikan, pendedahan, pengalaman dalam sedar atau tidak seseorang itu. Perbezaan penerapan antara satu orang dengan orang yang lain selalunya menimbulkan perselisihan. Baik adik beradik mahupun suami isteri.

Di negara ini hanya penerapan nilai akademik dijalankan dengan sistematik dan berstruktur tetapi penerapan yang lain terbentuk dalam diri secara tidak formal dan spontan. Adapun penerapan nilai ugama juga ada yang sistematik bagi mereka yang belajar di sekolah-sekolah ugama namun jumlahnya sedikit. Mungkin juga penerapan nilai ugama yang berstruktur, tersusun dan terancang tidak ditekankan di negara ini disebabkan oleh isu politik.

Sebagai analogi dalam diri kebanyakan kita, pengisian dalam diri kita umpama cebisan-cebisan jigzaw puzzle yang sebahagiannya tersusun dan sebahagian yang lain dalam keadaan yang berterabur. Bahagian yang tersusun itu ialah dari aspek akademik dan yang berterabur itu adalah dari aspek yang lainnya. Dalam aspek akademik kita dia diajar dari membaca, menulis dan mengira. Matapelajaran Matematik umpamanya dipelajari secara berperingkat-peringkat mengikut silibus yang telah disediakan bermula dengan mengenali nombor kecil hinggalah ke nombor yang besar. Seterusnya mempelajari peratusan, pembahagian, perpuluhan dan sebagainya mengikut tahap pembelajaran.

Bagi aspek penerapan nilai yang lain ia tidak dijalankan dengan cara yang sedemikian tetapi ia terpulang kepada sistem didikan di rumah. Anak yang dididik dari aspek perniagaan boleh jadi akan menjadi peniaga bila ia besar kelak, anak pendidik contohnya guru dan pensyarah selalunya akan cemerlang dalam akademik, anak ahli sukan akan mendidik anaknya bersukan dan begitu jugalah seterusnya. Pun begitu ada juga keadaan dimana sibapa adalah seorang ahli perniagaan tetapi tidak mendidik anak-anaknya berbuat demikian hinggakan anak itu memilih untuk mencari kerjaya dalam bidang penggajian.

Sebenarnya kita perlu pelajari semua ini sebelum ia menetap dalam diri. Namun demikian tidak dinafikan ada orang yang diberikan taufik dan hidayah tanpa perlu pengisian dalam diri. Walaubagaimanapun kita bukan seperti para Nabi dan Rasul yang dikurniakan dengan ilmu pengetahuan secara terus ke dalam hati mereka hinggakan mereka boleh menceritakan tentang sejarah masa lampau mahupun apa yang akan terjadi di masa akan datang secara tepat.  

Sebagai manusia biasa kita akan hanya tahu kepada perkara yang pernah didedahkan kepada kita, kalau ia tak pernah didedahkan pastinya kita tak akan tahu mengenainya. Ada orang lebih penerapannya dalam bidang seni dan kemahiran, ada orang lebih kepada akademik, ada orang lebih kepada ugama dan sebagainya. Tanpa disedari sebenarnya perbezaan penerapan nilai dalam diri inilah yang selalu menyebabkan ketidakfahaman dalam perhubungan antara dua insan. Jawapan kepada persoalan ini akan dihuraikan dalam topik-topik yang mendatang.

Kalau dalam buku-buku yang lalu saya telah huraikan mengenai penerapan sikap, kaedah menangani masalah, penerapan nilai dunia dan akademik, artikel-artikel ini pula menumpukan kepada cebisan-cebisan pengisian ugama yang berterabur dari dalam diri kebanyakan kita dan dengan izin Allah cuba untuk disusun semula dengan cara yang terancang, tersusun dan teratur agar kita sama-sama dapat mengenali diri dan Allah Taala dengan lebih dekat lagi.

PERBEZAAN PENERAPAN NILAI DIRI

Dalam isu penerapan nilai diri ini, ada orang yang tinggi kelayakan akademiknya kerana mereka belajar hingga ke peringkat PhD dan menjadi seorang professor contohnya sedangkan ada orang kelebihannya adalah dalam bidang seni dan kemahiran hingga mereka boleh menjadi artis, penyanyi, pelukis dan sebagainya.

Apapun yang kita usahakan dalam apa juga bidang sekalipun akan menjadikan diri kita pandai dan pakar mengenainya namun demikian pada masa yang sama kita akan menjadi pakar dalam bidang yang tertentu tetapi bukan pakar dalam bidang yang lainnya berdasarkan penerapan kehidupan yang kita lalui itu.

Cuba tanya diri anda sendiri berapa banyakkah penerapan-penerapan yang ada dalam diri anda sendiri?

  • Penerapan Ugama
Adakah anda punya pengetahuan yang mendalam dalam aspek ini lantas menjadikan kita orang tinggi akhlaknya?
  • Penerapan Bangsa
Adakah anda tahu mengenai adat istiadat, budaya dan pantang larang secara menyeluruh?
  • Penerapan Sifat dan Sikap
Adakah kita faham semua sikap dan sifat yang menjadi norma kehidupan bermasyarakat dan dapat melaksanakannya dengan baik?
  • Penerapan Akademik
Adakah kita belajar ke peringkat PhD dan dapat menyumbang kepandaian kita kepada masyarakat?
  • Penerapan Seni
Takukah kita melukis, menari, menyanyi dan sebagainya.

Persoalan-persoalan ini sebenarnya akan menyebabkan kita berfikir sejenak akan penerapan-penerapan yang ada dalam diri kita sendiri. Bukankah nini menunjukkan yang kita dilahirkan serba kekosongan dan penerapan semua aspek ini datang memasuki diri kita kemudian satu persatu.

Mungkin juga kita terlalu sibuk menjalani kehidupan seharian hinggakan kita tiada masa untuk duduk menggunakan akal dan berfikir sejenak mengenai semua ini. Sedangkan kita sebenarnya berbeza dengan makhluk yang lain di mukabumi ini oleh sebab kurniaan akal. Alasannya mungkin bukan kita tak mahu berfikir tetapi kita terlalu sibuk dengan urusan harian hinggakan kita tak punya masa untuk berfikir.

Tidak mengapalah, itu soal lain. Mari kita balik kepada soalan yang saya ajukan tadi.

Saya bertanya demikian kerana saya pernah terbaca kisah pak imam yang ditangkap khalwat, kisah homoseksual, kisah murtad, kisah budak genius menjadi penagih dadah mahupun pelacur, kisah penyanyi yang bercerai berai dan sebagainya. Apa masalah mereka dan apakah penerapan nilai diri mereka sebenarnya?

Dalam satu kes yang saya kendalikan saya pernah bertemu dengan seorang yang mempunyai sifat yang begitu kedekut dan berkira hingga menyebabkan penceraian. Adakah ini sifat kedekut ini sifat baik yang diterima dalam norma masyarakat. Saya yakin tidak tetapi penerapan sifat inilah yang sebenarnya menetap dalam dirinya menjelang dewasa.

Kemudian dalam banyak kes, ramai yang merasakan yang dirinya serba pandai, serba lengkap, serba tahu hingga tak mahu mendengar nasihat / belajar dari orang lain walhal penerapan nilai diri mereka dalam banyak aspek berada dalam peringkat yang rendah.

Jadi bagaimanakah semua penerapan dalam ini sebenarnya boleh terbentuk?

Mungkin konsep 4P yang bakal saya kemukakan nanti akan dapat membantu.

Kita sambung nanti...

FY
Mahu panggil FY untuk sesi motivasi?
Hubungi 0126540130

Thursday, March 8, 2018

NILAI DAN PRINSIP

Dalam artikel sebelum ini, pembentukan diri itu berlaku dari nilai yang kosong. Seumpama budak kecil yang kali pertama pergi ke panggung wayang contohnya. Kali pertama didedahkan. Dalam artikel kali ini saya ingin mengajak pembaca yang budiman sekelian memikirkan tentang perbezaan nilai yang ada dan bagaimana nilai-nilai ini dipilih secara sedar mahupun tidak lantas menjadi prinsip pegangan diri.

Dalam membicarakan topik ini nilai adalah sesuatu yang belum menjadi prinsip dalam diri. Sesuatu nilai yang diterapkan akan menjadi prinsip pegangan seseorang itu. Nilai ini akan melalui satu proses pengulangan dan pengukuhan sebelum ia menjadi prinsip diri.

Dalam membicarakan perihal ini, nilai adalah sesuatu yang berubah-ubah dan prinsip pula adalah sesuatu yang lebih tetap. Namun begitu, ada juga nilai yang selari dengan prinsip dan ia tidak boleh diubah walau bagaimana keadaan sekalipun. Contohnya bercakap benar, jujur serta ikhlas adalah elemen nilai yang tetap pada semua orang dan merupakan nilai masyarakat secara umumnya. Baik bagi masyarakat Barat mahupun Islam.

Pada masa yang sama, ada juga nilai yang berubah-ubah jika dibandingkan dengan prinsip. Contohnya prinsip menutup aurat. Agama Islam mengatakan bahawa lelaki wajib menutup aurat dan pusat ke lutut, namun nilainya berbeza antara individu. Di Arab dari segi nilainya, mereka memakai jubah. Di Malaysia pula, mereka memakai baju dan seluar panjang. Nilai penutupan aurat begini sebenarnya tidak menggambarkan keimanan seseorang itu. Orang yang beriman tidak semestinya berjubah, berkopiah dan berjanggut panjang kerana walaupun memakai seluar panjang dan t-shirt, dia masih berada dalam prinsip penutupan aurat yang disarankan oleh Islam. Barat pula tidak mempunyai prinsip menutup aurat kerana nilai pemakaian pakaian mereka terdiri daripada mereka yang berbogel hinggalah kepada memakai pakaian yang bertutup. Di Afrika pula, ada golongan yang hanya menutup kemaluan sebagai nilai pemakaian mereka.

Bagi memudahkan kefahaman biar saya bagi contoh nilai menutup aurat seorang wanita Islam di negara ini ;

  • Terdedah
  • Berbaju kurung tidak bertudung
  • Berseluar Jeans, T-Shirt lengan pendek bertudung
  • Berbaju kurung / berjubah bertudung
  • Berpurdah

Nilai yang manakah yang telah dapat disebatikan dan menjadi prinsip diri anda? Saya pernah bertemu dengan seorang perempuan melayu yang berambut karat, mengenakan kanta pelekap berwarna biru, berpakaian seksi yang akhirnya bertukar memakai jubah dan bertudung labuh. Bergelar Hajjah. Nilai yang melalui proses penerapan akan menjadi prinsip diri.

Pada masa yang sama saya pernah juga bertemu dengan orang yang prinsip dirinya tidak percaya kepada institusi perkahwinan, percaya kepada hubungan sejenis dan seks bebas, tidak mahukan anak, tidak makan daging dan sebagainya. Nilai yang telah diterapkan ke dalam diri menjadi prinsip kehidupan.

Nilai asas seperti menepati dan menghargai masa sudah menjadi lumrah bagi tamadun Jepun dan Barat. Contohnya bas yang ditunggu akan sampai tepat pada masa yang telah dijadualkan. Nilai produktiviti masyarakat mereka juga berada di tahap yang tinggi kalau dibandingkan dengan kita. Mari kita buat perbandingan nilai kegigihan antara kita dengan mereka.

  • Nilai kegigihan Orang Jepun ialah bekerja 16 jam sehari.
  • Nilai kegigihan Orang Barat ialah aktiviti menghasilkan produktiviti.
  • Nilai kegigihan Orang Melayu ialah bekerja dan melepak.
  • Nilai kegigihan Orang Islam ialah hidup dalam rangkuman ibadah.
  • Nilai kegigihan Orang Afrika ialah lebih melepak dari bekerja.

Sebenarnya kita tak banyak bezanya dari mereka yang mundur. Ungkapan prasarana kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga mungkin menjelaskan huraian ini dengan lebih tepat. Kemajuan sesebuah tamadun bukan hanya datang dalam bentuk kecanggihan prasarananya tetapi dengan kemajuan rakyatnya dalam bentuk pembangunan insan. Negara maju telahpun mengetahui akan hakikat ini jadi mereka begitu menekankan kepada pembangunan insan. Mereka sanggup membayar gaji yang mahal bagi mendapatkan khidmat para cendiakawan, saintis, jurutera dan mereka yang ahli dalam bidangnya demi membangunkan insan.

Memahami huraian ini, saya rasa adalah lebih baik kita mencari prinsip yang jitu untuk diterapkan ke dalam diri dan pada masa yang sama memilih nilai perlaksanaan yang terbaik yang mungkin boleh membawa kejayaan kepada diri sendiri. Contohnya, prinsip kegigihan dan menghargai masa sepertimana yang dilakukan oleh bangsa yang maju bakal diganjari dengan ganjaran kewangan. Prinsip menutup aurat dengan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. pula bakal diganjari dengan pahala dari ALLAH S.W.T Begitu juga halnya sekiranya mengikut prinsip hukum ALLAH S.W.T. Ganjaran yang sama akan tetap diterima.

Sesuatu prinsip yang telah dikenalpasti untuk diterapkan itu harus melalui proses nilai perlaksanaan yang berterusan dengan melalui proses pengulangan dan pengukuhan sebelum ia sebati dalam diri. Bukan mudah untuk menerapkan prinsip bercakap benar, pemaaf, rendah hati, jujur, pemurah, ikhlas, menghargai masa dan sebagainya dalam kehidupan seharian.

Nilai pemaaf ;

  • Semua kesalahan dimaafkan
  • Hanya boleh maafkan kesalahan tertentu
  • Orang yang bersalah mesti meminta maaf
  • Orang yang bersalah mesti dibalas dendam
  • Tak mahu memaafkan seumur hidup.

Pemaaf / memaafkan selepas sehari / seminggu / sebulan / setahun / seumur hidup?

Anda masih ada orang yang belum dimaafkan? Berapa ramai? Berapa lama? Ini menunjukkan yang anda sebenarnya bukan seorang yang pemaaf tetapi sebenarnya seorang PENDENDAM! Maafkanlah sahaja kerana mereka tak tahu, Nabi SAW ampunkan umat dan ALLAH S.W.T Maha Pengampun. Apa hak kita untuk tidak memaafkan? Begini jugalah perihalnya dengan nilai sikap-sikap yang lainnya.

Nilai membawa makna values dalam bahasa Inggeris yang membawa maksud sesuatu yang ada harga. Jadi ia bolehlah dilihat dari sudut pelaburan. Nilai yang manakah yang ingin kita terapkan dalam diri dan bakal menguntungkan diri kita di masa hadapan?

Kepelbagaian nilai pemakaian, contohnya dari yang terbuka hinggalah kepada yang tertutup. Apabila dibuat pertimbangan, yang terbuka boleh mengundang bahaya kalau dibandingkan dengan yang tertutup. Kes rogol contohnya sering dikaitkan dengan cara pemakaian terdedah para wanita. Suka membuang masa pula nilainya jauh lebih rendah kalau dibandingkan dengan nilai seseorang yang produktif. Begitu juga nilai orang yang malas kalau dibandingkan dengan orang yang rajin dan gigih.

Mengetahui hakikat ini, pilihlah nilai yang paling tinggi harganya untuk dijadikan prinsip diri. Orang yang terbuka akan lebih mudah menerima ilmu dan menyelesaikan masalah kalau dibandingkan dengan orang yang tertutup dan berfikiran sempit. Orang yang bersemangat akan terus berusaha dengan tabah tanpa jemu untuk mencapai kejayaan sedangkan orang yang lemah semangatnya akan berputus asa di separuh jalan.

Apapun semua ini terpulang kepada anda. Tepuk dada tanya selera.   

Kaedah dan pendekatan akan bagaimana untuk menerapkannya ke dalam diri telahpun saya huraikan dalam artikel yang lalu iaitu dengan melalui proses 4P.

Oh ya! Saya ingin menambah satu lagi nilai di ruangan ini;

Nilai bersolat ;

  • Tak solat
  • Solat Jumaat sahaja
  • Solat antara 1 hingga 4 waktu sahaja
  • Solat 5 waktu bersendirian lengah-lengah
  • Solat 5 waktu berjemaah awal waktu

Kita yang mana satu ye?

FY
Nak panggil FY bagi sesi motivasi?
Hubungi 0126540130

Wednesday, March 7, 2018

KENALI DIRI SENDIRI, KELEMAHAN / MASALAH ORANG MELAYU

KENALI DIRI SENDIRI, KELEMAHAN / MASALAH ORANG MELAYU

Sebenarnya sebagai seorang melayu, dalam diri kita ini terdiri dari 3 pengisian utama yang membentuk diri kita. Ada segelintir yang menyedarinya namun ramai yang tidak. Kita memasukkan pengisian ke dalam diri dan pengisian ini lambat laun membentuk diri kita sebagaimana yang anda kenali sekarang. Ia bertindak menentukan tindakan dan budi bicara kita dalam membuat keputusan kehidupan.

Pengisian utama yang saya perkatakan ialah ;

Pengisian Melayu
Pengisian Barat dan
Pengisian Islam

Pengisian yang pertama ialah pengisian Melayu.

Pengisian melayu adalah pengisian yang kebanyakannya melibatkan adat resam yang telah ada sejak zaman dahulu lagi. Baik Adat Temenggung mahupun Adat Pepatih. Kalau tidakpun ia mengikuti peraturan zaman animinism yang mengikut peraturan hutan. Kepercayaan tahyul dan khurafat yang masih tumbuh segar dalam masyarakat sehingga kini.

Pengisian ini pula diteguhkan dengan majalah-majalah dan cerita-cerita hantu yang masih berleluasa di negara ini sejak dua menjak ini. Pada saya semua perkara ada fasanya dan fasa hantu dalam masyarakat negara ini juga akan habis fasanya cumanya selagi ada peminat yang meminatinya dan selama ada lagi jenis-jenis hantu yang ingin dipertonjolkan penerbit maka ia akan terus berada dalam media massa, filem dan drama di negara ini. Fasa ini mengambil masa yang agak lama kerana satu sebab sebenarnya. Sebabnya hanya di negara ini terdapat pelbagai jenis hantu. Beribu jenis kalau dikira agaknya. Hantu Kum-Kum, Hantu Galah, Hantu Bungkus, Pocong, Pontianak, Jembalang, Jerangkung, Momok, Jin, Zombie dan sebagainya.

Apapun saya yakin satu hari pastinya mereka akan kehabisan idea hingga tiada lagi hantu yang hendak diceritakan. Lepas itu tak tahulah saya, fasa apa pula yang akan dimasuki oleh dalam perkembangan tamadun kita ini. Apapun saya harap ia akan memasuki fasa tamadun yang memberi semangat kepada rakyatnya dan bukannya sesuatu yang sia-sia, membuang masa dan melalaikan.

Pengisian yang kedua ialah pengisian Barat.

Pengisian Barat ini telah lama wujud dan bertapak semenjak negara ini dijajah dahulu hinggakan kurikulum pendidikan negara ini juga dipelopori oleh pengisian Barat yang bersifat keduniaan. Tanpa kita sedari dengan pengisian inilah kita dididik sejak dari kecil hinggalah meningkat dewasa. Ia bermula sejak kita di bangku sekolah lagi. Teringat saya di sekolah rendah dahulu uniform yang dipakai hanya dengan seluar pendek dan perempuan pula memakai penaform atau gaun yang masih lagi dipakai oleh kaum bukan melayu untuk ke sekolah sehingga ke hari ini.

Pengisian-pengisian ini kemudiannya diperkukuhkan oleh media massa yang dikuasai Barat. Baik di Internet, Radio, Televisyen, Filem atau dimana sahaja infomasi yang kita baca mahupun dengar boleh dikatakan semuanya datang dari sumber Barat. Bukankah lambat laun pengisian ini akan membelenggu dan menguasai minda orang melayu di negara ini?

Contohnya mereka mempromosikan hiburan maka orang kita begitu suka dengannya hingga apa juga genre hiburan yang diperkenalkan akan diikuti dan ditiru oleh orang kita. Rock, Pop, Alternative, Jazz, Fusion, Rap, Underground, Skunk, Hip Hop atau apa sahaja semuanya pasti akan ditiru. Salah satu sifat manusia ialah ia mudah bosan, selepas bosan dengan yang satu maka pastinya ada satu lagi yang bakal dicipta dan begitulah keadaan yang seterusnya. Konsert Justin Bieber yang penuh baru-baru ini cukup untuk mengesahkan semua ini.

Kemudian tatkala mereka mempromosikan sukan bolasepak maka orang kita menyokongnya hingga boleh dikatakan semua orang, baik anak kecil remaja hinggalah ke peringkat dewasa yang mempunyai pasukan yang akan disokongnya.

Ketiganya pengisian Islam.

Pengisian Islam dari segi sejarahnya datang dalam kurun ke 13 atau 14 Masehi mungkin dibawa oleh saudagar-saudagar Arab yang singgah berniaga di rantau ini atau mungkin juga secara khususnya untuk berdakwah.

Pengisian Islam ini diterima baik oleh sultan-sultan melayu terdahulu jadi boleh dikatakan semua orang melayu menerima ugama Islam kerana patuh pada sultannya dan takutkan daulat. Walhal pada masa itu kebanyakan mereka berugama Hindu.

Kemasukan pengisian Islam ini telah menyebabkan kalau di zaman 70 an pakaian yang ketat dan terdedah, hidup dalam pergaulan bebas namun ia telah lambat laun berubah kerana dewasa ini ramai yang telah semakin faham akan hukum hakam Keislaman ini. Dewasa ini kita boleh lihat lebih ramai yang bertudung dan menutup aurat.

Kemudian kita diisi pula dengan pengisian yang lain contohnya pengisian Hindu yang diterapkan oleh Bangsa India, juga pengisian bangsa Cina dan sebagainya. Namun begitu pengaruhnya tidaklah begitu besar.

Contohnya kalau kita hendak minum maka pengisian Barat mengatakan kita boleh minum secara bebas apa juga yang kita mahu minum tak kira halal mahupun haram. Begitu jugalah sebenarnya pengisian melayu. Untuk minum ia tak punya ketetapan yang jitu untuk dijadikan panduan dan ikutan. Ia tak seperti pengisian Islam yang mana kalau nak minum kita perlu pastikan air itu halal, minum duduk, berdoa, minum sekurang-kurangnya tiga teguk, jangan bernafas di dalam air minum tersebut dan sebagainya. Itulah sunnah Nabi SAW. Itulah kelebihan Islam. Ia serba lengkap dan merangkumi semua perkara dalam kehidupan ini.  

Oleh sebab apa yang telah saya huraikan tadi maka kita boleh lihat Cikgu Syida yang memakai tudung tetapi menonjolkan dirinya dengan miming, kita juga boleh lihat Yuna yang memakai tudung tetapi menyanyi, kita boleh lihat mereka yang bertudung tetapi terdedah auratnya di sana-sini, kita boleh lihat mereka yang berbaju kurung tidak bertudung, kita boleh melihat orang melayu bermata biru, berambut karat yang mengatakan diri mereka baik, beriman dan sebagainya.

Kita juga boleh lihat mereka yang solat tidak tinggal tetapi percaya kepada hantu, menjadi guru ugama tetapi mencabul mahupun membunuh anak muridnya, haji dan hajjah yang pendendam serta tidak ikhlas dalam perbuatannya, mereka yang Islam tetapi gay, mereka yang mengambil haram sebagai haram di sesetengah tempat tetapi haram sebagai halal di tempat yang lain dan begitu jugalah sebaliknya.

Inilah masalahnya. Sebenarnya terdapat satu konflik pengisian nilai yang ketara dalam pembentukan diri kita.

Kesimpulan yang ingin saya sampaikan dalam huraian ini ialah ;

Kebanyakan kita memasukkan kesemua pengisian ini ke dalam diri umpama rojak. Ia masuk tidak berstruktur dan bercampur baur. Ini menyebabkan tindakan sesetengah kita ada yang mengikut Islam, ada yang mengikut Hindu ada yang mengikut Melayu dan Barat. Kita pula tak punya cukup ilmu pengetahuan untuk memahami, membuat perbandingan apatah lagi memisahkannya.

Perbezaan pengisian dalam diri ini jugalah yang menyebabkan orang kita tak dapat bersatu disebabkan oleh perbezaan pendapat dan ideologi walhal hakikatnya kesatuan itu ada dalam Islam disebabkan oleh ketetapan hukum hakam di dalamnya.

Dalam hal ini pada saya ilmu pengetahuan amat penting kerana hanya dengan memasukkan ilmu pengetahuan dalam diri sahajalah maka kita akan dapat memisahkan kesemua perbezaan, persamaan mahupun pengisian yang bertindan ini secara yang objektif untuk kita meneruskan kehidupan agar kehidupan kita lebih lancar dan mudah dengan kefahaman yang saya katakan tadi.

Persoalannya hingga kini berapa banyak pengisian melayu yang ada dalam diri anda, berapa banyak pula pengisian Barat mahupun pengisian Islam yang telah ada bersarang dalam diri yang menentukan tidak tanduk diri kita? Oleh yang demikian, saranan saya cuba keluarkan apa yang telah anda pelajari selama hari ini dan masukkan ia semula dengan cara yang berstruktur dan tersusun.

Ketahuilah pengisian Melayu, Barat seta yang lainnya bersifat sekular keduniaan sedangkan pengisian Islam bersifat dunia dan akhirat. Ia dua perkara yang berbeza.

Ketahuilah juga yang pengisian sekular adalah pengisian keraguan yang cuba mencari kebenaran sedangkan pengisian Islam adalah pengisian kebenaran yang tiada keraguan.

Fikir-fikir dan terapkanlah semua ini ke dalam hati anda. Nanti anda akan memahami.

FY

Hubungi FY sekiranya anda inginkan sesi motivasi, Fun games, team building dan sebagainya.

0126540130

Aku tertekan / Aku mahu membunuh diri!

Aku tertekan / Aku mahu membunuh diri!

Kebelakangan ini entah kenapa saya rasakan semakin lama tugas dan tanggungjawab saya sebagai penulis ini menjadi semakin berat. Amanah dan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu saya ini untuk menyampaikan ilmu pengetahuan serta maklumat yang terasa begitu sukar namun inilah yang perlu saya lakukan seikhlas mungkin demi untuk pembangunan ummah.

Dalam profesion saya sebagai Remiser mahupun sebagai seorang penulis atau kaunselor, saya bertemu dengan ramai orang dan dalam pertemuan demi pertemuan ini kebanyakan mereka yang saya temui menjalani kehidupan secara spontan tanpa pemahaman yang jita mengenai kehidupan ini lebih-lebih lagi bilamana mereka itu merupakan seorang yang muda.

Entahlah saya pun tak tahu dimana silapnya, mungkin sistem pendidikan negara ini masih mempunyai banyak kelompongan yang perlu diperbaiki sebelum ia dapat mendidik rakyatnya secara menyeluruh bila keluar dari institusi-institusi pengajian ini, baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi.

Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang gadis yang mempunyai Masters yang merupakan graduan di luar negara dan bakal mendirikan rumahtangga. Dia mendapat wang hantaran sebanyak RM15,000.00 dan mahu menjalankan upacara perkahwinannya di Dewan Serbaguna dengan menggunakan khidmat katering. Dia menyangkakan yang RM15,000.00 itu mencukupi untuk tujuan tersebut walhal di zaman ini, di kala ini dengan keadaan harga barang yang melonjak naik saya tahu dan yakin ia tidak mencukupi melainkan dia mahu berkahwin di sebuah kampung di Kelantan yang mana semuanya dijalankan dengan ala kadar sahaja.

Apa yang ingin saya katakan ialah, mungkin gadis itu seorang yang pandai dari segi akademik namun dia kurang bijak dari segi kehidupan.

Dalam artikel kali ini, sekali lagi saya ingin berkongsi mengenai dugaan kehidupan. Ini kerana saya sering bertemu dengan mereka yang tertekan dan menjadi tak keruan kerana dugaan-dugaan kehidupan yang mereka hadapi.

Begini kisahnya...

Katalah dalam dunia ini Allah Taala menciptakan 1 juta dugaan kepada makhluk bernama manusia dan setiap manusia yang dilahirkan di muka bumi ini akan diduga dalam rangkuman dugaan yang ada ini.

Dugaan ini datang dalam pelbagai bentuk contohnya dugaan perhubungan, kecacatan fizikal dan mental, kematian, kewangan, kerjaya, kenderaan, kediaman, perniagaan atau apa sahaja. Yang pastinya ia takkan keluar dari rangkuman 1 juta dugaan yang telah diperuntukkan kepada manusia ini. Maksud saya disini tak ada manusia yang akan diduga dengan dugaan terputus kepala dari tubuhnya namun masih boleh hidup dan meneruskan kehidupan mahupun belum ada manusia yang diduga boleh hidup dalam air atau angkasa lepas tanpa udara dan sebagainya. Ia tidak termasuk dalam dugaan yang satu juta yang saya maksudkan tadi. Paling kuatpun manusia membunuh diri bila tak tahan diduga dengan dugaan-dugaan yang dalam rangkuman yang saya katakan tadi.

Kadang-kadang ada yang bertanya kepada saya kenapa orang yang membunuh diri kerana tak tahan diduga walhal Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah yang maksudnya lebih kurang “Tak akan diduga manusia dengan dugaan yang tak sanggup ditanggunginya...”

Pada saya mungkin maksud dalam ayat ini ialah dugaan atas manusia itu pasti akan dapat ditanggunginya. Maksud saya begini, kalau dugaan orang yang membunuh diri itu diberikan kepada seorang yang lain maka dia tak mengambil tindakan membunuh diri tetapi dia boleh bersabar dan menghadapinya dengan tenang. Ada orang membunuh diri kerana berpisah dengan kekasih, sedangkan ramai yang TIDAK membunuh diri hanya kerana berpisah dengan kekasih. Ada orang membunuh diri hanya kerana gagal dalam peperiksaan sedangkan ramai yang TIDAK membunuh diri hanya kerana gagal dalam peperiksaan malah mereka gagal dalam semua peperiksaan sekalipun.

Dugaan yang diperuntukkan kepada manusia itu ialah perpisahan dan gagal dalam peperiksaan, adakah ia begitu berat hingga tak sanggup ditanggungi manusia? Pastinya ia boleh ditanggungi kerana RAMAI yang telah menanggungnya tanpa masalah. Pada saya semua dugaan dalam rangkuman 1 juta dugaan yang diperuntukkan kepada manusia itu pastinya BUKANLAH dugaan yang tak akan dapat ditanggunginya.

Mari kita bahagikan dugaan itu kepada kategori yang berikut ikut kata P. Ramlee dalam cerita Nujum Pak Belalang ;

  1. Dugaan Banyak-Banyak

Contohnya dugaan masalah dengan manusia kawan, suami, isteri, keluarga, mertua dan sebagainya. Ini kerana manusia tak dapat lari dari dugaan bersifat perhubungan ini.

  1. Dugaan Sedikit-Sedikit

Contohnya dugaan penyakit demam, selsema, batuk, sakit mata, sakit telinga dan sebagainya.

  1. Dugaan Kadang-Kadang

Contohnya dugaan penyakit kronik, sakit jantung, penyakit hati, leukimia, buah pinggang dan sebagainya.

  1. Dugaan Jarang-Jarang
 
Contohnya dugaan perpisahan kerana kematian orang yang tersayang. Ini kerana ia kadang-kadang berlaku untuk kita hadapi.

Dalam hal ini kita akan diduga dengan set dugaan yang tertentu, ada yang diduga dengan masalah kewangan, kemudian masalah dengan suami, masalah di tempat kerja, masalah anak yang sakit dan sebagainya. Selepas dapat menyelesaikan satu fasa maka kita akan diduga pula dengan fasa yang lain pula. Begitulah seterusnya dalam kehidupan ini. Yang pastinya tiada sesiapapun akan dapat melepasinya.

Kalau dibuat perbandingan, anda yang diduga dengan sakit gigi adakah ia lebih teruk daripada mereka yanng terkena serangan jantung hingga menyebabkan hilang keupayaan separuh badan? Kalau anda diduga dengan hutang sebanyak RM2,000.00 adakah ia lebih teruk daripada mereka yang diduga dengan hutang sebanyak RM2 juta? Kalau anda diduga dengan kemalangan hingga menyebabkan kereta anda punah adakah ia lebih teruk dari mereka yang kemalangan hingga menyebabkan mereka hilang daya upaya?

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesungguhnya membandingkan dengan orang yang lebih teruk diduga adalah lebih wajar...”

Kesimpulannya, janganlah berputus asa pabila diduga. Bersabarlah dan berusahalah untuk mencari jalan keluar. Janganlah mengambil keputusan untuk mengambil nyawa sendiri. Ini kerana ada orang yang diduga jauh lebih teruk daripada anda namun dia dapat menanganinya dengan tenang dan selamba. Berusahalah InsyaAllah lambat laun anda akan dapat mengatasinya.

Ini kerana Allah berfirman dalam Al Quran yang bermaksud ;

“Bertakwalah, kerana kelak akan ada jalan keluar dari tempat yang tidak diduga, dan bertawakkallah kelak Dia akan mencukupkan.”

Acapkali saya katakan dugaan fungsinya adalah untuk menguji keimanan manusia, samaada dia akan terus meningkatkan keimanan atau dia akan kufur. Masalahnya ramai manusia yang diduga tetapi masih lagi terus-terusan melalui jalan yang serong, salah dan dalam kegelapan tidak mahu beriman dan masuk ke dalam jalan yang lurus lagi terang. Maka dugaan itu terus-terusan datang dalam kehidupannya tanpa henti.

Saranan saya kembalilah. Kembalilah ke jalan Allah Taala. Teguhkanlah keimanan dan tingkatkanlah amalan kepada Allah Taala. InsyaAllah satu hari nanti Allah akan memberikan hidayahNya dan membawa kita ke dalam satu dimensi baru yang berbeza, dimensi yang penuh dengan ketenteraman, kebahagiaan dan ketenangan. Dimensi yang begitu diimpikan oleh semua manusia. Dimensi keakhiratan.


FY


0126540130

Monday, March 24, 2014

PRAY FOR MH370

Assalamualaikum... 

Hari ini FY ingin mengambil kesempatan untuk mengungkapkan rasa sedih dan pilu atas tragedi yang menimpa penumpang dan anak kapal MH370. Innalilillah... serta salam takziah buat semua ahli keluarga penumpang dan crew yang terlibat. Al Fatihah kepada yang beragama Islam semoga Allah Taala mencucuri rahmat ke atas roh mereka.


































FY

 

Thursday, October 24, 2013

CENDERAHATI PERCUMA DARI FAIZAL YUSUP

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM CERIA...

FY ADA HADIAH PERCUMA UNTUK SEMUA - NOVEL PALING BEST PERNAH DIBACA - NOVEL TRILOGI MAN REMPIT 1 - KARYA FAIZAL YUSUP. LAYARI - 



MINDA DUNIA DI MANA-MANA

KENAPA MINDA DUNIA LEBIH RAMAI DARI MINDA AKHIRAT? Kebanyakan orang pada hari ini hidup dengan minda dunia kerana dunia itu boleh dilihat d...