Tuesday, January 8, 2019

MOTIVASI REMAJA - MATLAMAT MASA


MATLAMAT MASA

Sebagai sambungan kepada topik dalam bab yang baru saya akan sambung dengan pengisian yang bertajuk matlamat masa. Bagi kebanyakan kita, masa berlalu tanpa kita sedari. Sepanjang hidup walaupun kita dengar pelbagai pengisian tentang pentingnya masa namun ia tetap tidak memberi erti kepada kita. Kata pujangga, masa itu emas, anda juga tahu yang orang yang berjaya adalah orang yang tahu mengurus dan membahagikan masanya. Namun, memahami teori sahaja tidak memadai melainkan ia dapat dilaksanakan secara praktikal dalam kehidupan.

Bagi mereka yang SEDAR pula maka mereka tak akan membiarkan masa berlalu begitu sahaja, walau sesaat. Pasti ada sahaja perkara yang bermanfaat yang akan mereka lakukan. Pasti ada sahaja pengisian dalam jangkamasa yang berdetik itu.

Kalau tak dapat buat dengan tangan dan kaki maka mereka bercakap, kalau tak bercakap mereka berfikir dan kalau tak ada apa yang difikirkan mereka berzikir. Itulah susun aturnya sebagai seorang Islam dalam aspek penggunaan masa.

Apa yang penting dalam penggunaan masa IALAH untuk memastikan matlamat yang kelihatan dan yang tersembunyi yang ingin kita capai.

Cuba tanya persoalan ini kepada diri ;

·        Adakah masa ini ditukar kepada perbuatan yang terpaksa
·        Adakah masa ini ditukar kepada tidur dan rehat
·        Adakah masa ini ditukar kepada keuntungan kewangan
·        Adakah masa ini ditukar kepada hiburan dan masa santai
·        Adakah masa ini ditukar kepada senaman
·        Adakah masa ini ditukar kepada silaturrahim
·        Adakah masa ini ditukar kepada kerja dan produktiviti
·        Adakah masa ini ditukar kepada kerja-kerja ibadah
·        Adakah masa ini ditukar kepada perbuatan sia-sia dan tak berfaedah
·        Lain-lain



PENGISIAN MASA

Masa Ditukar Kepada Perbuatan Yang Terpaksa
-         Mandi dan membersihkan diri, bersiap, buang air kecil dan besar, makan minum andalah antara perbuatan yang mesti kita buat sebagai manusia. Tahukah anda kalau anda malaikat anda tak perlu buat semua ini. Jadi ada masa yang terpaksa kita peruntukkan untuk semua ini sepanjang kehidupan. Pokoknya ialah kita tidak mengambil begitu banyak masa untuk aktiviti masa terpaksa ini.

Masa Ditukar Kepada Tidur Dan Rehat
-         Manusia juga perlukan rehat dan tidur. Tanpanya ia boleh menyebabkan kita sakit. Cumanya kalau kajian Barat mengatakan tidur yang secukupnya ialah 8 jam namun dalam Islam tidur yang terbaik ialah tidur Nabi Daud AS iaitu 4 jam sahaja. Dalam hal ini mereka yang banyak tidur akan melihat dunia dalam jangkamasa yang singkat.

Masa Ditukar Kepada Keuntungan Kewangan
-         Kemudian masa juga boleh ditukarkan kepada keuntungan kewangan. Aktiviti bekerja, berkarya, berniaga dan sebagainya boleh menukarkan masa tersebut kepada duit. Duit yang dilaburkan dan diberi masa akan membawa duit yang lebih banyak. Sekali lagi masa adalah kayu ukurnya.

Masa Ditukar Kepada Hiburan Dan Masa Santai
-         Manusia juga seumpama binatang yang perlukan hiburan. Jadi ada sebahagian masa yang akan digunakan untuk menonton TV, Youtube, Radio, Muzik, Karaoke, Konsert, Wayang, Spa, melancong dan sebagainya.

Masa Ditukar Kepada Senaman Dan Sukan
-         Demi menjaga kesihatan maka manusia perlukan bersenam dan bersukan. Bermacam jenis sukan dan kaedah senaman yang telah dicipta sepanjang dekad dengan tujuan yang sama iaitu untuk meningkatkan kesihatan jasmani dan mental. Jadi ada juga masa yang akan diperuntukkan untuk tujuan ini.

Masa Ditukar Kepada Silaturrahim
-         Seterusnya masa juga boleh ditukarkan kepada perhubungan silaturrahim. Yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan. Baik hubungan suami isteri, anak beranak, keluarga, saudara-mara, rakan taulan dan sebagainya. Memelihara perhubungan kasih dan sayang pastinya perlukan masa untuk bersama.

Masa Ditukar Kepada Produktiviti
-         Produktiviti boleh jadi apa sahaja. Menulis, melukis, membaca buku, berkebun, menjala, memancing, berkemas, mendobi pakaian atau apa sahaja. Ia tak semestinya membawa kepada keuntungan kewangan namun ia adalah sesuatu yang boleh kita lakukan.

Masa Ditukar Kepada Kerja-Kerja Ibadah
-         Sebenarnya semua perkara yang kita lakukan berlandaskan syariat dan dilakukan dengan ikhlas akan tergolong dalam ibadah bukan hanya ritual solat, puasa, haji, umrah dan sebagainya. Kerja, membantu orang lain, berniaga malah berperang juga tergolong dalam ibadah sebenarnya. Ia membawa kepada ganjaran pahala bermatlamat syurga di akhirat. Lawannya ialah maksiat yang membawa dosa.

Masa Ditukar Kepada Perbuatan Sia-Sia Dan Tak Berfaedah
-         Tak buat apa-apa, termenung tanpa berfikir apa-apa. Melepak tanpa hala tuju, merempit dan merayau ke sana-sini tanpa tujuan dan yang seangkatan dengannya hanya akan membuang masa berharga dalam kehidupan ini.

Inilah antara matlamat yang boleh digunakan dengan masa yang anda ada dalam kehidupan sekali yang pendek ini. Jadi apakah keutamaannya? Manakah yang lebih utama dan yang lebih menguntungkan? Untung dunia? Untung akhirat? Nanti saya akan rungkaikan perihal ini dalam bab yang mendatang.

Seterusnya apakah matlamat masa anda dan berapa lamakah ia diambil untuk dicapai?

LAGI CEPAT MATLAMAT ITU DICAPAI LAGI BAIK KERANA KITA AKAN ADA MASA SENGGANG UNTUK MELAKUKAN PERKARA YANG LAIN.

Soalannya ;

·        Perlukah kita mandi dan bersiap sampai sejam sedangkan kita boleh mencapai matlamat membersihkan tubuh badan dalam masa 15 minit atau kurang?
·        Perlukah kita bermain games selama 4 jam sedangkan kita boleh mendapat kepuasan dalam masa yang jauh lebih pendek dari itu.
·        Kenapa kita mengambil masa yang begitu lama untuk melakukan sesuatu pekerjaan sedangkan orang lain boleh melakukannya dalam masa yang lebih singkat?
·        Perlukah kita menonton wayang atau rancangan TV yang sama berkali-kali. Bukankah matlamat untuk mamahami jalan cerita itu dengan hanya menontonnya sekali sahaja?
·        Kenapa kita boleh berborak kosong sambil minum teh di kedai mamak begitu lama sedangkan ada perkara lain yang lebih baik yang boleh kita gunakan dengan masa yang ada itu.
·        Perlukah kita menonton youtube begitu lama sedangkan apa yang kita tonton itu tiada matlamat yang jitu.
·        Perlukah kita menyanyi karaoke berjam-jam sedangkan kita tak perlu berbuat demikian.

Namun ;

·        Bila ibubapa minta bantu buat kerja rumah tak sabar pula kita nak menghabiskannya malah malas untuk kita melakukannya.
·        Bila mengulangkaji pelajaran tak pula kita ingin belajar lama.
·        Bila mendengar ceramah tak pula kita fokus dan menanti sehingga ia selesai.
·        Bila mengaji taknak pula kita mengaji lama.
·        Bila solat di rumah mahupun berjemaah di masjid kita tak sabar pula nak balik rumah.

Kita macam cacing kepanasan bila menjalankan kerja-kerja ibadah. Kesimpulannya bila menghabiskan masa untuk melempias nafsu kita nak lama tapi untuk ilmu mahupun matlamat ibadah kita nak cepat. Bukankah sepatutnya ia TERBALIK?

Ketahuilah hanya mereka yang BERAKAL yang akan dapat menewaskan NAFSU.

Sebenarnya tak ada salahnya kita menggunakan masa lama-lama dalam sesuatu perkara namun dalam hal ini kita kena pastikan apakah matlamat yang ingin dicapai.

·        Kita menyanyi karaoke lama-lama kerana kita ingin mempertajamkan suara untuk menjadi seorang penyanyi.
·        Kita pergi main snooker lama-lama kerana kita ingin berlatih bagi menyertai pertandingan dan kalau menang ia akan membawa kauntungan kewangan.
·        Kita menonton youtube lama-lama kerana kita ingin mencari ilmu pengetahuan bagi meningkatkan sesuatu kemahiran.
·        Kita berWhatsApp lama-lama-lama dengan tujuan meningkatkan jualan perniagaan yang kita jalankan.
·        Kita berfacebook lama-lama kerana kita sedang menjalankan usaha dakwah.
·        Kita bergayut di telefon lama-lama kerana kita ingin menjalinkan hubungan hingga membawa ke gerbang perkahwinan.
·        Kita duduk minum lama di kedai mamak kerana kita ingin melihat bagaimana mamak menjalankan operasi perniagaan kerana kita juga berhasrat untuk membuka restoran di masa akan datang.

Jadi pastikanlah underlying objective atau matlamat tersirat yang ingin dan boleh kita capai dengan penggunaan masa tersebut. Pastikan ia membawa matlamat yang baik dan banyak pada satu masa.

Contohnya seorang bapa yang sanggup sama-sama membeli set memanah demi menemani anaknya yang menyertai sukan memanah di sekolah dan mengajak anaknya berlatih memanah setiap petang bakal mendapat pelbagai manfaat antaranya ;

-         Mengeratkan silaturrahim dengan anaknya.
-         Meningkatkan kemahiran memanah anak
-         Meningkatkan kemahiran memanah dirinya
-         Memanah itu bersesuaian dengan sunnah
-         Mendapat senaman, kecergasan tubuh badan dan ketepatan pemerhatian
-         Meningkatkan peluang memenangi pertandingan yang mungkin membawa kepada keuntungan kewangan dan sebagainya.

Inilah contoh matlamat penggunaan masa yang baik dan tentunya berfaedah untuk diri kita.

No comments:

Post a Comment

BELI BAJU MINDA AKHIRAT

  Kami mempunyai beberapa produk Minda Akhirat untuk dijual sepertimana di bawah ini ;  HUBUNGI EN RASHID 011-11736110 SEKIRANYA ANDA BERMIN...