Tuesday, April 10, 2012

Bilalah Nak Sedar?



Salam Ceria buat semua...


Satu ketika dahulu saya suka memandu dengan laju baik kereta mahupun motorsikal. Rekod kelajuan saya yang pernah dicapai ialah selaju 285 km sejam menunggang motorsikal berkuasa tinggi Yamaha FZR1000 di Amerika. Entah kenapa kelajuan memberikan kepuasan, meredakan tekanan dan satu lagi saya tak suka membazir masa memandu jadi saya akan memandu dengan laju agar cepat sampai ke destinasi. Bila difikirkan Alhamdullillah syukur ke hadrat Allah kerana saya masih bernyawa hingga hari ini. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan terjadi.

Apapun kisah pembuka mengenai topik kesedaran ini berakhir begini. Satu hari seseorang telah menghantar pada saya video kompilasi lebih 50 kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan kematian di facebook telah menyebabkan saya insaf dan SEDAR.

Kemalangan yang berlaku kerana kelalaian manusia, terlepa beberapa saat, tak pakai tali pinggang keledar, memandu laju dan sebagainya telah membuka minda dan hati saya betapa memandu kenderaan adalah sesuatu yang amat merbahaya. Merbahaya kepada diri juga merbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Sekali lagi dengan izin Allah ia membuatkan saya SEDAR dan mulai dari saat itu saya memandu dengan perlahan, tenang dan berhemah. Tiada apa lagi yang hendak saya kejarkan. Saya rasa lega dan gembira untuk memandu dengan tenang dan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecelakaan.

Apapun saya tahu malang tak berbau dan kemalangan boleh berlaku disebabkan kelalaian orang lain tetapi pada saya apa yang penting ialah saya telah menyumbang dengan mengurangkan seorang lagi yang lalai di jalan raya iaitu DIRI SAYA SENDIRI.

Baiklah mari kita sambung bab KESEDARAN ini. Ingatlah KESEDARAN bukanlah satu kesedaran kalau ia tak dilaksanakan dan diamalkan dalam menjalani kehidupan seharian.

KESEDARAN BAHAYA MEMANDU LAJU

Kalau kita ada kesedaran tentang bahaya memandu laju maka pastinya kita akan memandu dengan berhemah dan berhati-hati.

Tapi kalau kita masih lagi memandu laju tidak berhemah dan mencilok di sana sini ini maknanya kita belum SEDAR.

KESEDARAN MASA

Kalau anda ada kesedaran mengenai MASA maka pastinya anda akan menggunakan MASA di tahap yang tertinggi untuk mendapatkan nilai masa yang tertinggi dalam kehidupan dengan matlamat yang tertentu.

Tapi kalau kita masih lagi membuang masa dan menggunakannya ke tempat yang tak berfaedah, membazir dan sia-sia tanpa objektif yang tertentu maka sebenarnya kita masih belum SEDAR.


KESEDARAN TENAGA

Kalau kita ada kesedaran mengenai TENAGA maka pastinya kita akan tahu bagaimana untuk mengendalikan TENAGA dan menggunakannya dengan baik dan tahu banyak mana lagi TENAGA yang kita ada saban hari.

Tapi kalau kita dok kuat tidur kerana telah kehabisan tenaga maka kita sebenarnya belum SEDAR. Ini kerana ada orang yang produktivitinya jauh lebih banyak dari kita dengan tenaga yang dikurniakan kepada mereka.

KESEDARAN BAHAYA MEROKOK / MENGAMBIL DADAH DLL

Kalau kita ada kesedaran mengenai bahaya Rokok, Arak, Dadah dan yang lainnya maka pastinya kita akan mengelak menjadikan semua ini sebagai tabiat diri.

Tapi kalau kita masih lagi merokok dan mengambil semua ini maknanya kita belum SEDAR.


KESEDARAN KESIHATAN

Kalau kita sedar mengenai KESIHATAN maka pastinya kita akan menjaga makan dan minum, bersenam dan sebagainya.

Tapi kalau kita makan main bedal je, minum minuman yang manis saban hari dan langsung tak bersenam ini bermakna yang kita belum SEDAR.

KESEDARAN BERAGAMA

Kalau kita ada kesedaran dalam BERAGAMA pastinya kita akan selalu mengingati Allah dalam setiap tindak tanduk kehidupan kita, pastinya kita mengikut hukum hakam, menurut perintah dan meninggalkan laranganNya.

Tapi kalau kita masih lagi sibuk mengejar dunia dan segala isi kandungannya yang bersifat sementara ini maka sebenarnya kita belum SEDAR.


KESIMPULANNYA ;

·         Ugama Islam ini sebenarnya menjadikan kita seorang yang penyabar dan MEMANDU dengan berhemah.
·         Ugama Islam ini sebenarnya menjadikan kita insan yang menghargai kurniaan MASA dan TENAGA yang Allah Taala kurniakan saban hari.
·         Ugama Islam ini sebenarnya menjadikan kita seorang yang secara automatik menjalani kehidupan yang SIHAT jauh dari maksiat dan elemen-elemen yang boleh merosakkan diri dan masyarakat.

Persoalannya mudah. Dah SEDAR ke belum?

Oh ya! Saya nak kena cari apa lagi aspek kehidupan yang belum saya sedar untuk disedarkan...

No comments:

Post a Comment

BELI BAJU MINDA AKHIRAT

  Kami mempunyai beberapa produk Minda Akhirat untuk dijual sepertimana di bawah ini ;  HUBUNGI EN RASHID 011-11736110 SEKIRANYA ANDA BERMIN...