Monday, April 9, 2012

Setiap Saat Berharga



KAMBAN METHODOLOGY

Saya baru sahaja sebulan berpindah dari pejabat Kenanga Investment Bank di Amcorp Mall ke pejabat baru yang letaknya di Quattro West, berdekatan dengan Hotel PJ Hilton.

Biasalah bila kita tiba ke pejabat baru maka banyaklah variables yang berlainan yang perlu kita biasakan. Kalau dahulu bilik kita besar sekarang ia menjadi kecil, tempat kerja kita menghadap tandas, aircondnya yang terlebih sejuk, air teh nya yang kurang sedap, jauh dari stesyen LRT, tiada tempat makan dan banyak lagi rungutan-rungutan yang bakal didengar disebabkan disorientation atau perubahan yang jauh dari kebiasaan ini. Sebenarnya ini semua satu perkara biasa. Pada saya semua ini tak penting kerana lambat laun semua ini lama kelamaan bakal menjadi kebiasaan.

Dalam hal ini manusia lebih suka fokus kepada perkara yang negatif tetapi tidak pula melihat kepada yang positif. Pertamanya tempatnya baru dan canggih, dahulu tiada surau sekarang sudah ada surau di tingkat atas, kalau dahulu tiada tea lady sekarang sudah ada tea lady dan sebagainya. Fokus kepada semua yang positif ini pada saya adalah lebih baik. Ia dapat mengelakkan kita rasa tertekan atas sebab-sebab yang tak perlu.

Analoginya begini;

Kita pergi ke restoran pertama kita nampak yang ianya kotor, kita pergi ke restoran kedua kita nampak yang pelayannya lewat, kita pergi ke restoran ketiga kita dapati makanannya tak sedap sedangkan pada masa yang sama kita tak fokus kepada pelayan yang cantik dan makanan yang sedap di restoran yang pertama, kita tak nampak hiasan dalaman dan kebersihan di restoran yang kedua dan kita tak nampak servisnya yang cepat serta pinggan manggkuknya yang cantik di restoran yang ketiga. Boleh fokus kepada keburukan dengan tujuan untuk memperbaikinya tetapi adalah lebih baik kita fokus kepada kebaikan dan mengambil iktibar darinya. Mungkin semua ini akan menjadi berguna bila kita membuka restoran kelak.

Saya pula akan hanya cuba membaiki perkara yang menjejaskan perniagaan contohnya ketiadaan talian internet ataupun masalah telefon dan perkara penting yang lainnya. Dalam analogi restoran tadi saya akan memastikan makanan yang dimasak sedap, servisnya cepat dan layanannya baik. Ini terlebih dahulu. Kenapa?

Sebab kalau kita lihat banyak juga gerai kecil yang kotor dan tak terurus tapi pelanggannya begitu ramai dan maju. Ini kerana mereka mempunyai makanan yang sedap. Nasi Lemak Antarabangsa di Kampung Baru contohnya. Mereka tetap ada pelanggan yang ramai hingga kini walaupun susun aturnya tetap sama ala-ala kadar sahaja sehingga kini.

Pada saya mereka yang dapat mengadaptasi atau menyesuaikan diri dengan keadaan dengan cepat maka merekalah yang lebih beruntung kerana mereka akan dapat meneruskan langkah perjalanan kehidupan dengan lebih lancar tanpa masalah yang bakal menarik diri kita ke belakang.

Apapun ini bukanlah isu utama yang ingin saya sampaikan dalam artikel kali ini. Isu utama semenjak perpindahan di sini ialah ia mengambil masa yang lama dan memerlukan banyak langkah perjalanan saban hari untuk ke sana dan ke sini bagi menyelesaikan sesuatu urusan.

Saya yang berada di tingkat bawah terpaksa naik ke tingkat dua hanya untuk pergi membuat salinan photocopy. Kemudian mesin photocopy itu pula jenis yang sukar dikendalikan. Kemudian, kalau nak jumpa Pegawai Kawalan Kredit pula saya kena naik ke tingkat 4 dan di situ terpaksa pula menunggu di pintu depan dengan harapan ada sesiapa yang hendak masuk mahupun keluar. Ini kerana saya tak punya pas untuk masuk ke dalam pejabat tersebut. Tak cukup dengan itu bila hendak keluar sekali lagi saya terpaksa menunggu seseorang mengimbas pas mereka kerana tiada suis yang disediakan. Dan banyak masalah yang lainnya.

Sebenarnya satunya semua ini membuang masa dan kalau kita kira blok masa dalam setahun maka kita akan dapati kita sudah menghabiskan begitu banyak masa dan tenaga untuk naik dan turun menunggu dan menanti. Kemudian kalau kita kira langkah yang yang kita ambil untuk ke sana dan ke mari maka saya yakin secara totalnya kita mengambil jarak berkilometer dalam masa setahun. Sebenarnya ia jelas menunjukkan mereka yang mengatur semua ini tidak faham akan semua yang saya perkatakan ini.

Meletakkan satu mesin photocopy dan water dispenser berdekatan dengan tempat kami bekerja akan menjimatkan masa kerja maka dapatlah kami lebih masa untuk fokus kepada pasaran saham mahupun melayan pelanggan.

Kemudian, meletakkan suis untuk ditekan semasa keluar juga pasti akan menjimatkan masa. Kedudukan pegawai-pegawai yang penting yang ditugaskan berdekatan pula pastinya akan membolehkan sesuatu urusan itu dijalankan dengan mudah cepat dan pantas. Begitu jugalah dalam hal-hal yang lain.

Apapun saya bukanlah hendak merendah-rendahkan pejabat tempat saya mencari rezeki. Saya cuma memberi pandangan akan kebaikan yang boleh dilakukan untuk diambil iktibar kepada sesiapa sahaja yang dijodohkan dengan artikel ini. Semua ini sebenarnya dijalankan oleh orang-orang Jepun dalam Sistem Kanban yang bagi tujuan pengilangan mereka. Ia menjadikan pekerja mereka lebih efisien dengan menggunakan masa dan tenaga di tempat yang perlu dan bukannya untuk menunggu, menanti, berjalan dan sebagainya.

Fikir-fikirkanlah...

Oh ya! Ada dua tiga orang yang melanggar cermin pintu depan kerana mereka tak nampak cermin baru yang jernih itu.

Sekian dahulu... Faizal Yusup mengundur diri.

No comments:

Post a Comment

BELI BAJU MINDA AKHIRAT

  Kami mempunyai beberapa produk Minda Akhirat untuk dijual sepertimana di bawah ini ;  HUBUNGI EN RASHID 011-11736110 SEKIRANYA ANDA BERMIN...